SHAH ALAM – Seorang pelajar kolej swasta warganegara Nigeria tidak mampu menggambarkan kegembiraannya apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan syabu, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad memutuskan untuk tidak memanggil Akalonu Uchenna Bright, 25, membela diri selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan itu.Dalam penghakimannya, beliau bersetuju dengan hujah pihak pembelaan bahawa dadah jenis syabu dan heroin tidak boleh diletakkan dalam satu pertuduhan.
Katanya, mahkamah pula tidak mempunyai bidang kuasa untuk meminda pertuduhan dan tindakan sedemikian melanggar peruntukan undang-undang.
Akalonu didakwa mengedar 1,167 gram heroin dan 158 gram syabu di alamat No. 05-03-06, Lagoon Perdana, Jalan PJS9/1A, Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini pada pukul 6.05 pagi, 4 Ogos 2009.
Dia didakwa di bawah Sesyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam Gooi Soon Seng.
sumber