Datuk Kay & Rozita Ibrahim: Syawal, masa ‘bayar hutang’


TIADA kesenangan tanpa kesusahan. Dan tiada kemanisan tanpa melalui kepahitan. Itulah yang pernah dilalui oleh dua orang pengasas ini saat berbicara mengenai sambutan lebaran yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Saat dipertemukan buat pertama kali di studio Kumpulan Media Karangkraf, kemesraan mereka bagaikan sudah lama. Usik mengusik menjadi ‘mainan’ sepanjang fotografi berlangsung.

Sedikit pun tidak menunjukkan sebarang jurang, meskipun ramai beranggapan hubungan dalam kalangan pengasas produk kecantikan ‘tidaklah sebaik mana’.

“Apalah yang nak dimusuhi. Lagipun kami sama-sama mencari rezeki di muka bumi Allah yang bertuah ni. Bukankah lebih baik kita berniaga secara sihat daripada bermasam muka?” kata Rozita Ibrahim sambil diiyakan oleh Datuk Kamaliah Abdul Halim atau mesra disapa, Datuk Kay sahaja.

Menyentuh tentang Syawal yang bakal tiba, kedua-duanya punya cerita sendiri. Meskipun air mata pernah mengalir deras setiap kali lebaran menjelang, ia bukanlah kisah duka yang harus dibuang jauh-jauh. Sebaliknya menjadi titik tolak buat mereka menikmati kejayaan pada hari ini.

Bersama wartawan Hasliza AR Kamaludin, menyelusur lubuk hati kedua-dua orang pengasas ini untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ramai sedia maklum dengan kepayahan hidup yang pernah dilalui oleh wanita ini satu masa dahulu. Namun semuanya dilalui dengan tenang serta azam yang tinggi, bahawa satu hari nanti dia mampu mengubahnya.

Tidak menolak takdir yang diberikan oleh ALLAH SWT padanya, cuma sedikit terkedu setiap kali anak-anak melihat kegembiraan yang dinikmati keluarga lain khususnya sewaktu Aidilfitri.

“Disebabkan itu selalu saya berpesan pada anak-anak, hari rayai alah hari kemenangan kita orang Islam kerana berjaya berpuasa selama sebulan. Esok kita dah boleh makan siang hari. Kita wajib bersalaman dan bermaaf-maafan dengan ibu bapa dan keluarga,” katanya.

Tapi jangan pergi ke rumah jiran sebab mak takut kamu lahap melihat makanan orang.  Nanti orang kata buruk pasal anak-anak, mak yang malu. Dan mak risau kamu berjalan rumah orang kerana mengharapkan duit raya kerana mak tak ajar kamu jadi meminta-minta.

“Mak tak nak kamu bersedih kerana kamu tak ada pakaian raya yang cantik. Mak hanya mampu beli baju bundle yang berharga 50 sen. Bila anak buruk lakunya, orang kata mak tak didik, dan orang selalu pandang rendah bila kita meminta-minta sebab kita miskin,” katanya dalam nada sebak mengenang kisah lampau.

Jika di rumah jiran sibuk merebus ketupat dan memasak rendang, lain pula bagi Rozita. Menu raya anak jati Negeri Sembilan ini sekeluarga ketika itu hanyalah mihun goreng dengan ikan bilis dan pucuk manis.

Tanpa rendang ayam yang hadir sesekali, ia sudah memadai buat Rozita dan tiga orang anaknya ketika itu. Dan sebaik semuanya kenyang menikmati hidangan, Rozita akan segera bersiap untuk menoreh gerah bagi mencari rezeki keesokan hari.

Kini meskipun sudah mampu memiliki apa-apa sahaja yang terdetik di fikiran, Rozita masih terbawa-bawa sikapnya yang dahulu.

Menurut wanita yang masih anggun dalam usia lewat 40-an ini, tidak pernah wujud istilah ‘bermewah-mewah’ dalam hidupnya. Apa yang dijalani, hanyalah sedikit kesenangan berbelanja setelah menjalani ujian ALLAH sewaktu miskin dahulu.

Bagi Rozita, saat Syawal ini jugalah waktu yang paling sesuai untuk dia ‘membayar hutang’. Selain meraikannya bersama bonda tercinta di kampung sendiri, Rozita juga akan memastikan masa untuk dia dan suami juga ada buat keluarga mertua di Kedah.

Sudah menjadi rutin buat Kay dan suaminya menjemput jiran-jiran bertakbir di kediamannya pada malam hari raya. Raya tahun ini pastinya lebih bermakna kerana kesemua anaknya yang belajar di luar negara sudah kembali ke tanah air.

Biarpun anak keempat hanya bercuti semester, sudah cukup memberikan keriangan berganda buat Kay dan suaminya meraikan hari raya bersama-sama mereka tahun ini.

“Sebelum ini, saya dan suami akan ke Ireland untuk berhari raya  dengan anak-anak. Tapi raya di tempat orang, meriahnya tidak sama seperti tempat sendiri. Jadi setelah melaluinya beberapa tahun, rasanya kali ini kemeriahan hari raya buat kami sekeluarga menjadi lebih bermakna,” ujarnya sambil tersenyum manis.

Bukan itu sahaja, malah aktivitinya untuk berhari raya bersama keluarga dan mertua juga terasa lebih meriah dengan pertambahan ahli keluarga yang ada.

Begitu juga dengan keluarga besar RZAC Cosmetics yang menyokongnya sejak sekian lama. Besar harapan wanita berjiwa besi ini untuk melihat empayar perniagaannya itu diambil alih oleh anak-anak bagi membolehkannya berundur satu hari nanti.

sumber : sinarharian 

Comments
0 Comments
0 Komentar untuk "Datuk Kay & Rozita Ibrahim: Syawal, masa ‘bayar hutang’"

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2014 mediasiber - All Rights Reserved
Template By Catatan Info