Cedera bergelut dengan peragut


Cedera bergelut dengan peragut | KUALA KRAI – Seorang tukang urut berdepan detik cemas apabila terpaksa bergelut dengan lelaki tidak dikenali untuk mempertahankan beg tangannya daripada dilarikan suspek dalam kejadian di Guchil Empat, kira-kira jam 8. 10 malam kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Wan Nurul Aini Mamat, 52, cedera pada rusuk dan belakang lengan dipercayai ditikam dengan senjata tajam ketika bergelut dengan penjenayah terbabit.

Ketika itu, mangsa yang juga Sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)  dalam perjalanan pulang ke rumah tidak jauh dari tempat kejadian selepas selesai mengurut pelanggannya di Jalan Sinar Jaya, di sini.

Katanya, sebelum pulang dia singgah di Agro Bank untuk memeriksa wang Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya setiap bulan  dan keluar sebaik selesai urusan.

Katanya, dia  tidak menyangka dirinya diperhatikan dua lelaki dari dalam sebuah kereta bercermin gelap berhampiran bank itu.

“Ketika hendak masuk ke dalam bank, saya lihat terdapat sebuah kereta tidak jauh dari bank, namun tidak mengendahkannya kerana beranggapan mereka mempunyai urusan di sekitar kawasan itu.

“Sebaik keluar dari bank, saya melintasi kereta tersebut untuk pulang ke rumah melalui hadapan  surau, ketika itulah  saya diterkam seorang lelaki,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Guchil Empat.

Ibu tunggal itu berkata, tindakan pantas lelaki itu membuatkan dia tergamam dan bergelut untuk mempertahankan beg tangannya dari terlepas ke tangan penjenayah walaupun hanya mempunyai wang tunai RM55 memandangkan terdapat pelbagai  dokumen penting dibawanya termasuk sijil kelahiran.

Menurutnya, ugutan lelaki tidak dikenali itu untuk menikamnya sekiranya tidak melepaskan beg tangannya membuatkan dia mengalah.

“Saya pegang kuat beg tangan, tetapi lelaki itu kata, sekiranya saya tidak lepaskan beg tersebut, dia akan tikam saya.

“Bimbang dicederakan, saya lepaskan beg tersebut dan menjerit meminta tolong sebaik dia melarikan diri,” katanya yang tidak menyedari bahagian perut dan belakang lengannya ditikam sebelum dia menyerahkan beg tersebut.

Ibu lima anak ini berkata, dia yakin lelaki tersebut bukan penduduk setempat kerana tidak bercakap loghat Kelantan ketika mengugutnya dan turut menggunakan kenderaan mewah ketika kejadian.

Katanya, dia tidak merasai kesakitan  pada bahagian yang ditikam sehinggalah seorang jiran yang kebetulan lalu di tempat kejadian memaklumkan bajunya dibasahi darah.

Menurutnya, selepas itulah dia mula keletihan kerana kehilangan banyak darah dan terus dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Walaupun cedera, saya bersyukur tikaman tidak mengenai organ dalaman,” katanya.

Sementara itu, jirannya, Hapisah Che Harun,47, berkata, dia yang dalam perjalanan ke pasaraya berhampiran  kebetulan melalui tempat kejadian melihat mangsa dan terus mendapatkan mangsa untuk mengetahui kejadian menimpanya.

Menurutnya, Wan Nurul Aini memberitahu dirinya tidak diapa-apakan sebaliknya dia keliru melihat baju mangsa  basah dengan darah.

“Bimbang melihat darah terlalu banyak, saya bersama seorang penduduk membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Berikutan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Krai.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP, Nuraddin Din Wahab mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.-sinar harian

Comments
1 Comments
1 Komentar untuk "Cedera bergelut dengan peragut"

Semoga penjenayah itu dapat ditangkap dgn segera dan dihukum seadil-adilnya!

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2014 mediasiber - All Rights Reserved
Template By Catatan Info