Gin Ching gembira dapat bertemu isteri, Annie Anak Kroh dan anaknya setelah tempoh bertugas di Op Daulat, membantu mengawal keselamatan di Lahad Datu berakhir, kelmarin.
Kisah anggota Unit Gempur Marin: Saksi anggota kita ditetak | KUANTAN – Peluang bertugas dalam Op Daulat bersama perwira lain di Lahad datu Sabah adalah pengalaman baru bagi Konstabel Kuan Gin Ching, 35, anggota Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin, Wilayah 3.
Beliau berkongsi suka dukanya di bumi bergolak itu bersama pembaca Sinar Harian selepas hampir sebulan berada di Kampung Tanduo dan Kampung Simunul.
Menurutnya, masih terbayang di matanya ketika menyaksikan pengganas menetak anggota keselamatan dan ditembak sehingga perut terburai tetapi masih gagah menyerang anggota terbabit.
“Walaupun ditembak berulang kali dan perutnya sudah ditembusi berbelas tembakan, namun dirinya masih gagah menyerang anggota keselamatan yang sudah tidak bermaya itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Kepulangan Wira Negara Op Daulat, di Markas Pasukan Polis Marin, Wilayah 3, dekat sini, kelmarin.
Katanya, lelaki terbabit bersama isterinya mengunci rumah dari luar dan bertindak ketika Unit Tindakan Khas (UTK) menggeledah rumah dengan menyerang di sebalik pintu.
Katanya, anggota yang lain hanya bersiap sedia jika muncul lagi pengganas di sebalik rumah itu.
Bagaimanapun, katanya, peristiwa itu langsung tidak mematahkan semangatnya malah semakin bersedia untuk ke sana semula selagi Op Daulat belum berakhir.
Pada awalnya Gin Ching mengakui gentar sebaik tiba di tanah yang dipenuhi bekas perang itu tambahan pula melihat kelongsong peluru bertaburan di atas jalan raya dan letupan serta tembakan di sekeliling kawasan itu.
“Berada kira-kira 400 meter dari lokasi pengganas Sulu menjadikan kami bersiap-sedia sepanjang masa,” katanya yang menjadikan pengalaman itu satu cabaran dan kekuatan diri untuk terus menjaga keamanan negara.
Katanya, dia turut ditugaskan bersama anggota UNGERIN dari wilayah lain bukan untuk mengawal keadaan di darat malah membantu pasukan keselamatan di laut bagi mengelakkan penceroboh bertindak menyelamatkan diri melalui jalan air.
Menurutnya, kawasan perkampungan di atas air itu bersimpang-siur dengan keadaan struktur binaan rumah yang sama mengelirukan anggota bertugas.
“Memang sukar untuk keluar masuk di situ dan seolah-olah seperti perangkap kepada anggota keselamatan. Sekiranya kita tersilap langkah memijak di atas jeti atau jambatan menghubungkan perumahan, pasti terjatuh ke dalam air,” katanya.-sinar harian