Kemalangan Maut: ‘Mak….Adik Pergi Dulu Ya’



Kemalangan Maut: ‘Mak….Adik Pergi Dulu Ya’ | REMBAU – “Saya tidak menyangka perbualan singkat dengan arwah sekitar 4 pagi (Rabu lalu) sebelum dia keluar bekerja merupakan perbualan terakhir, malah arwah sempat mengucapkan ‘adik pergi dulu’.” Itulah luahan ibu pemandu lori yang maut tersepit dalam kemalangan di kilometer 31, Jalan Seremban Tampin, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, Ahmad Nurashid Kasim, 27, yang dalam perjalanan dari Klang ke Melaka maut selepas lori yang dipandunya merempuh sebuah lori lain di persimpangan masuk ke jalan Astana Raja, dekat sini.

Ibu mangsa, Nisa Maarof, 54, berkata, dia dia terkejut sebaik tiba di Hospital Tampin (HT) apabila mengetahui anaknya meninggal.

“Saya dan suami dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan arwah yang menyuruh kami sekeluarga segera ke hospital, namun tidak dimaklumkan hal sebenar,” katanya.

Manakala saksi kejadian, Lans Koperal Anuar Hisham Saadon, 35, berkata, dia melihat dengan jelas mesin dan barangan tar jalan yang dibawa lori yang dirempuh melantun dan mengenai hadapan lori mangsa.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan dua lagi anggota sedang melakukan rondaan secara bermotosikal dari Balai Polis Kota ke Kampung Bongek seperti biasa.

“Dua anggota sudah melepasi persimpangan berkenaan, bagaimanapun saya yang berada di belakang sempat mengelak dari menjadi mangsa rempuhan lori yang meluncur laju ke hadapan selepas dirempuh lori lain,” katanya.

Rakan mangsa, Muhamad Takia Abdul Kadir, 26, berkata, sebelum kejadian arwah ada menghubunginya untuk minum petang bersama namun arwah sudah berada di Rembau manakala dia masih di Senawang.

“Arwah mencadangkan untuk berhenti minum dan menunggu saya di Simpang Ampat. Bagaimanapun, apabila melalui lokasi kejadian, saya berasa tidak sedap hati apabila melihat lori dipandu arwah terlibat dalam kemalangan.

“Ketika saya sampai, arwah yang tersepit di bahagian kaki masih lagi bernyawa kerana dia memberikan reaksi apabila saya memanggil namanya,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Polis berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu mangsa merempuh sebuah lori lain yang membawa muatan kerja menurap jalan yang sedang berhenti di persimpangan bagi membelok ke kanan jalan.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa 10 minit bagi mengeluarkan mangsa tersepit di bahagian kaki tempat duduk pemandu.

“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian susulan cedera parah di badan dan kaki. Mayat mangsa dibawa ke HT untuk proses bedah siasat.

“Susulan insiden itu lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Yusoff Samad telah dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya.-sinar harian
Comments
0 Comments
0 Komentar untuk "Kemalangan Maut: ‘Mak….Adik Pergi Dulu Ya’"

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Copyright © 2014 mediasiber - All Rights Reserved
Template By Catatan Info