PABM: Ada ‘Mat Salleh’ Lebih Petah Dari Warga Kita Sendiri…
Penulis difahamkan melalui laman web rasmi Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM), www.pabm.com.my, bahawa seramai 68 orang peserta telah mengesahkan penyertaan mereka ke pertandingan tersebut yang dijadualkan bermula pada 29 Februari ini.
Sudah pastinya 68 orang peserta dari Afghanistan, Afrika Selatan, Albania, Amerika Syarikat, Algeria, Arab Saudi, Belanda, Hungary, Itali, Jepun dan lain-lain negara dunia akan sekali lagi mengegarkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, tempat berlangsungnya acara itu nanti.
Setiap kali dianjurkan, masyarakat Malaysia khususnya yang berketurunan Melayu begitu berbangga melihat bahasa ibunda mereka meniti di setiap bibir pelajar-pelajar asing yang mengambil bahagian di dalam pertandingan itu.
Sememangnya menarik untuk warga Malaysia menonton sendiri kepetahan anak-anak muda dari negara-negara asing ini berpidato di dalam bahasa rasmi negara – Bahasa Melayu, dan jangan terkejut sekiranya penguasaan Bahasa Melayu mereka lebih baik dari kita.
Penulis pernah menyaksikan bagaimana petahnya peserta dari Turki, Halil Ibrahim, menyampaikan pidatonya yang bertajuk ‘Generasi Muda Hari Ini Adalah Penentu Hari Esok’ sehingga menobatkan beliau sebagai juara kategori antarabangsa PABM edisi yang lalu.
Begitu juga Sofia dari Australia yang mengusik hati apabila menyebut ‘pe be be’ yang merujuk kepada singkatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan membuatkan penulis tidak kering gusi sehingga hari ini.
Menakjubkan penulis, mereka tidak dilahirkan di negara ini namun mampu berpidato dan berbahasa Melayu dengan baik walaupun hanya mempelajari bahasa tersebut di dalam jangka masa yang singkat.
Kita dilahirkan dan dibesarkan di negara ini serta setiap hari mendengar, membaca, melihat dan bergaul di dalam bahasa kebangsaan itu.
Bermula dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi hinggalah masuk ke alam pekerjaan, kita berada di dalam negara yang menggunakan Bahasa Melayu setiap hari.
Menyedihkan, ada di kalangan kita yang masih pelat, bertabur tatabahasa, berselerak tutur kata dan lebih buruk lagi, ada pula yang tidak mampu berbahasa Melayu.
Penulis tidak dapat tidak terpaksa mengakui kebenaran bahawa penguasaan Bahasa Melayu majoriti para peserta PABM adalah jauh lebih baik berbanding segelintir warga negara kita.
Semoga, dengan kebolehan pemidato pelajar warganegara asing yang mempamerkan kefasihan mereka berbahasa Melayu itu mampu merubah sikap segelintir warganegara kita agar mempertingkatkan diri untuk berbahasa rasmi.
Penulis optimis bahawa PABM edisi ke-enam pada tahun ini akan memperlihatkan kematangan yang lebih dari para peserta pertandingan sebelumnya…nantikan PABM 2012!
sumber